Monday 30 September 2013

16 September 1963



Jika disebut 31 Ogos 1957, semua rakyat Malaysia mesti mengingati sebagai hari kemerdekaan kita. Namun tidak ramai yang mengingati tarikh 16 September 1963 merupakan tarikh yang sangat bermakna untuk kita. Tarikh ini merupakan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, Brunei dan Singapura telah mewujudkan sebuah negara iaitu Malaysia. Namun akhirnya Singapura menarik diri dari menyertai Malaysia. 

Satu ucapan daripada Tunku Abdul Rahman Putra iaitu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Melalui kerjasama ini mampu menangani pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Perkembangan politik di Singapura menarik minat kerajaan untuk meningkatkan pengaruh golongan kiri. Selain itu, gagasan ini perlu dilakukan bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. 

Pada 23 Julai 1961, Mesyuarat Persatuan Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Malaysia yang dipengerusikan oleh Donald Stephen. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menerangkan dengan jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Perlimen dalam Jawatankuasa ini. Perwakilan Singapura pula adalah daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Manakala perwakilan Sabah dan Sarawak daripada ahli-ahli Majlis Negeri Sabah dan Majlis Negeri Sarawak. Mesyuarat daripada Jawatankuasa ini telah berlaku sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama dilaksanakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya pada Disember 1961 di Kuching, Sarawak. Mesyuarat ketiga diadakan di Kuala Lumpur pada Januari 1962 dan mesyuarat terakhir dilaksanakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu, Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya meninjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap gagasan Malaysia. 

Terdapat beberapa perkara penting dalam memorandum tersebut yang menjadi asas kepada perlembagaan yang telah dipersetujui. Antara persetujuan dalam Jawatankuasa ini ialah perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Selain itu, perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan serta berkaitan agama Islam yang diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk melalui perundingan antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Kerajaan British pada November 1961. Suruhanjaya ini ditubuhkan untuk tujuan meninjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak berkaitan gagasan Malaysia. Ahli anggota Suruhanjaya ini terdiri daripada lima orang ahli yang dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas Gabenor Bank England manakala ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston merupakan wakil kepada kerajaan British. Seterusnya, Mr. H. Harris ditugaskan sebagai setiausaha.

Bermula Februari 1962 sehingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai dalam memberi pandangan terhadap gagasan Malaysia tersebut. 80 peratus daripada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia. Hasil sokongan ini dapat dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu. Ahli-ahli Suruhanjaya turut memberi cadangan-cadangan dalam laporan tersebut berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang telah diterimanya.

Seterusnya, loparan tersebut dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Tanah Melayu pada 21 Jun 1962. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan telah bersepakat untuk menerima hampir semua cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya tersebut malah Perdana Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra turut bersetuju untuk menerima laporan Suruhanjaya Cobbold.

Antara reaksi penduduk Singapura, cadangan penggabungan untuk gagasan Malaysia memang ditunggu-tunggu. Sebelum itu, pemimpin Singapura seperti David Marshall dan Lee Kuan Yew telah mendesak supaya British mengadakan perundingan untuk menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura. Desakan tersebut dilakukan kerana pengaruh Barisan Sosialis yang memenangi pilihanraya Hom Lim di Singapura akan melemahkan parti pemimpinnya Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan menggugat rancangan British untuk memerdekakan Singapura. Di samping itu, gagasan ini disokong kerana ancaman komunis yang masih ada dan Persekutuan Tanah Melayu  mempunyai pengalaman membanteras kegiatan komunis tersebut. Pemimpin Singapura juga menyokong gagasan Malaysia dilaksanakan kerana Singapura akan memperoleh kemerdekaan dengan lebih cepat. Oleh itu, apabila Tunku Abdul Rahman Putra mengumumkan cadangan penggabungan pemimpin Singapura lebih bersikap proatif dan menyokong segala usaha ke arah itu. Manakala reaksi penduduk Sarawak terhadap penubuhan Malaysia pula ialah setelah pengumuman Tunku Abdul Rahman Putra parti-parti politik di Sarawak mula berkembang dengan hebatnya seperti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA), Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dan Sarawak Chinese Association (SCA). Pada asalnya, cadangan tersebut kurang mendapat sokongan daripada parti di Sarawak, namun selepas lawatan Tunku Abdul Rahman Putra pada Jun 1961 ke Sarawak telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Malaysia selain daripada mempercepatkan kemerdekaan Sarawak, meningkatkan pelaburan dan perkembangan industri pertanian, mengimbangi jumlah dan kadar pertumbuhan kaum di Sarawak. Seterusnya reaksi penduduk Sabah, selepas lawatan Tunku Abdul Rahman Putra pada Jun 1961 yang menjelaskan kedudukan penggabungan tersebut akhirnya parti-parti politik Sabah bersetuju untuk menyertai gagasan Malaysia. Dalam masa yang sama Sabah dan Sarawak telah membuat tuntutan sebagai syarat untuk menyertai Malaysia. Syarat tersebut dikenali sebagai Perkara 20 yang dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia untuk melindungi hak dan kepentingan penduduk sabah dan Sarawak. Perkara 20 tersebut merangkumi Ketua Negeri, Bahasa Kebangsaan, Agama Islam, kedudukan istimewa penduduk asal negeri dan hal ehwal imigresen, kerakyatan, peruntukan kewangan dan pelajaran. Setelah bersetuju dengan syarat dengan syarat tersebut barulah penggabungan Persekutuan Tanah Melayu  dengan Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan.

Melalui sokongan tersebut, beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan ahli-ahli anggotanya terdiri daripada Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom). Rundingan diadakan di London melalui kata sepakat yang dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British yang berlangsung selama dua minggu. Pada Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangan di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Wakil-wakil British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah menandatangani Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia. Persetujuan ini diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia tidak dapat dilaksanakan pada tarikh yang ditetapkan dan terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Maka, akhirnya Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

Tanggal 16 September 1963, upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Upacara tersebut telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak.upacara ini juga turut dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah membaca pengisytiharan Malaysia di hadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia yang turut serta dalam meraikan hari bersejarah tersebut. Dalam ucapan beliau juga telah melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Bacaan doa selamat yang dibaca oleh Mufti Negeri Sembilan iaitu Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said bagi mengakhiri upacara tersebut.


(1150 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment