Monday 30 September 2013

16 September 1963



Jika disebut 31 Ogos 1957, semua rakyat Malaysia mesti mengingati sebagai hari kemerdekaan kita. Namun tidak ramai yang mengingati tarikh 16 September 1963 merupakan tarikh yang sangat bermakna untuk kita. Tarikh ini merupakan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, Brunei dan Singapura telah mewujudkan sebuah negara iaitu Malaysia. Namun akhirnya Singapura menarik diri dari menyertai Malaysia. 

Satu ucapan daripada Tunku Abdul Rahman Putra iaitu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Melalui kerjasama ini mampu menangani pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Perkembangan politik di Singapura menarik minat kerajaan untuk meningkatkan pengaruh golongan kiri. Selain itu, gagasan ini perlu dilakukan bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. 

Pada 23 Julai 1961, Mesyuarat Persatuan Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Malaysia yang dipengerusikan oleh Donald Stephen. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menerangkan dengan jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Perlimen dalam Jawatankuasa ini. Perwakilan Singapura pula adalah daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Manakala perwakilan Sabah dan Sarawak daripada ahli-ahli Majlis Negeri Sabah dan Majlis Negeri Sarawak. Mesyuarat daripada Jawatankuasa ini telah berlaku sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama dilaksanakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya pada Disember 1961 di Kuching, Sarawak. Mesyuarat ketiga diadakan di Kuala Lumpur pada Januari 1962 dan mesyuarat terakhir dilaksanakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu, Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya meninjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap gagasan Malaysia.