Tanggal 25 Oktorber 2013, seluruh
rakyat Malaysia menantikan ucapan Bajet 2014 oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun
Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Bajet 2014 digubal
untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan
defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya Memakmur Negara dan
Mensejahtera Rakyat yang bertemakan "MEPERTEGUH
KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI".
Terdapat lima teras utama dalam
bajet tersebut iaitu merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengunggul
modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar dan mensejahtera
kehidupan rakyat. Secara keseluruhannya, Bajet 2014 menyaksikan peningkatan
kira-kira RM31 billion berbanding bajet tahun lalu iaitu sebanyak RM232.8
bilion dengan RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi
perbelanjaan pembangunan.
Melalui Bajet 2014, kerajaan
memperuntukkan sebanyak RM325 juta untuk mahasiswa IPT yang mampu memberi
manfaat seramai 1.3 juta pelajar. Hal demikian ini kerana kerajaan meneruskan
program Baucar Buku 1Malaysia dengan nilai sebanyak RM250 kepada setiap mahasiswa
IPT untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.
Seterusnya,
memperkasa pendidikan tertiari. Di sudut ini, kerajaan akan memberi fokus memperkasakan
mahasiswa IPT ke arah melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi
permintaan pasaran kerja. Antara program yang akan dilaksanakan ialah pertama, meningkatkan
status universiti bertaraf penyelidikan dengan memperbanyakkan kajian dan
penulisan untuk penerbitan di peringkat antarabangsa. Untuk itu, Kerajaan akan
menyediakan RM600 juta sebagai geran penyelidikan di institut pengajian tinggi
awam; dan
Kedua pula ialah kerajaan meneruskan
program MyBrain15 iaitu pembiayaan yuran pengajian di peringkat pasca ijazah,
khususnya kepada golongan eksekutif di sektor swasta. Untuk ini, sejumlah 110
juta ringgit disediakan bagi tujuan tersebut.
Penerbitan jurnal ilmiah ke
peringkat antarabangsa merupakan aspek terpenting dalam memartabatkan hasil
karya para akademik tempatan. Menyedari akan kepentingan mewujudkan satu pusat
ilmiah bertaraf dunia, Kerajaan akan menubuhkan Pusat Sitasi Malaysia bagi
meningkatkan hasil penerbitan ilmiah tempatan dan membantu penyelidik menerbitkan
artikel dalam jurnal antarabangsa yang terkemuka.
Kesimpulannya, kemudahan yang disediakan oleh
kerajaan adalah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban mahasiswa dalam menghadapi
taraf hidup yang semakin meningkat.