Tuesday 5 November 2013

FAEDAH BAJET 2014 KEPADA MAHASISWA IPT




            Tanggal 25 Oktorber 2013, seluruh rakyat Malaysia menantikan ucapan Bajet 2014 oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat yang bertemakan "MEPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI".
           
            Terdapat lima teras utama dalam bajet tersebut iaitu merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengunggul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar dan mensejahtera kehidupan rakyat. Secara keseluruhannya, Bajet 2014 menyaksikan peningkatan kira-kira RM31 billion berbanding bajet tahun lalu iaitu sebanyak RM232.8 bilion dengan RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
           
            Melalui Bajet 2014, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM325 juta untuk mahasiswa IPT yang mampu memberi manfaat seramai 1.3 juta pelajar. Hal demikian ini kerana kerajaan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia dengan nilai sebanyak RM250 kepada setiap mahasiswa IPT untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.
           

            Seterusnya, memperkasa pendidikan tertiari. Di sudut ini, kerajaan akan memberi fokus memperkasakan mahasiswa IPT ke arah melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi permintaan pasaran kerja. Antara program yang akan dilaksanakan ialah pertama, meningkatkan status universiti bertaraf penyelidikan dengan memperbanyakkan kajian dan penulisan untuk penerbitan di peringkat antarabangsa. Untuk itu, Kerajaan akan menyediakan RM600 juta sebagai geran penyelidikan di institut pengajian tinggi awam; dan

            Kedua pula ialah kerajaan meneruskan program MyBrain15 iaitu pembiayaan yuran pengajian di peringkat pasca ijazah, khususnya kepada golongan eksekutif di sektor swasta. Untuk ini, sejumlah 110 juta ringgit disediakan bagi tujuan tersebut.

            Penerbitan jurnal ilmiah ke peringkat antarabangsa merupakan aspek terpenting dalam memartabatkan hasil karya para akademik tempatan. Menyedari akan kepentingan mewujudkan satu pusat ilmiah bertaraf dunia, Kerajaan akan menubuhkan Pusat Sitasi Malaysia bagi meningkatkan hasil penerbitan ilmiah tempatan dan membantu penyelidik menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa yang terkemuka. 

                 Kesimpulannya, kemudahan yang disediakan oleh kerajaan adalah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban mahasiswa dalam menghadapi taraf hidup yang semakin meningkat.