Wednesday 16 October 2013

KERACUNAN MAKANAN


Dalam menjalani kesibukan rutin seharian keselamatan dan kebersihan makanan mesti diutamakan. Faktor cuaca dan kekurangan bekalan air boleh menyebabkan risiko keracunan makanan akan meningkat jika langkah-langkah pencegahan tidak dititikberatkan. Kesihatan berkait rapat dengan nutrisi atau pemakanan seseorang kerana pemakanan yang sesuai menghasilkan kesihatan yang baik manakala pemakanan yang tidak sesuai menjejaskan kesihatan atau menyebabkan penyakit. Pemakanan yang sihat sangat penting sebagai bekalan tenaga bagi pergerakan, bekalan nutrien-nutrien. Oleh itu, kebersihan memainkan peranan penting dalam usaha kita untuk mengelakkan sebarang penyakit.

Baru-baru ini kita dikejutkan tiga orang mati dan dua orang lagi kritikal disebabkan oleh keracunan makanan ketika menghadiri majlis kenduri kahwin di Yan. Hidangan yang disediakan dalam jamuan tersebut ialah ayam masak merah, gulai terung ikan talam dan kerabu pucuk paku dikatakan menjadi menu utama yang dihidangkan kepada hadirin di majlis kenduri berkenaan. Difahamkan kesemua mangsa menghadiri majlis kenduri yang sama dan mendapat simptom keracunan yang sama berpunca daripada makanan yang dimakan.

Keracunan makanan ialah sesuatu penyakit disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Agen, perumah dan persekitaran merupakan tiga punca utama berlakunya keracunan makanan. Keracunan berlaku apabila ketiga-tiga punca ini saling bertindak balas. Pertama, agen merupakan bahan aktif atau media (biasanya kimia) yang mengakibatkan keracunan. Menurut satu kajian, satu pertiga daripada kes keracunan yang telah dirujuk ke sesebuah hospital tempatan berpunca daripada bahan-bahan kegunaan rumah tangga.

Kedua, perumah merujuk kepada individu yang terdedah kepada kemungkinan keracunan. Faktor ini merangkumi umur, jantina, kematangan fizikal dan mental serta peribadi individu. Satu kajian menunjukkan lebih daripada 90 peratus kes keracunan melibatkan kanak-kanak berusia antara satu hingga 11 tahun. Ketiga, persekitaran melibatkan kawasan rumah dan luar rumah. Kebanyakan kejadian keracunan berlaku di rumah. Kawasan luar rumah melibatkan alam sekitar mengalami pencemaran pelbagai bahan kimia toksin daripada sumber asli atau bahan buangan. Agen-agen ini didapati dalam air, tanah, udara dan makanan.

Seterusnya, langkah-langkah pencegahan berlakunya keracunan makanan antaranya mengutamakan asas kebersihan makanan. Pencegahan keracunan makanan seharusnya bermula daripada pembelian bahan mentah di pasar-pasar dan makanan di restoran-restoran. Keselamatan makanan sentiasa difikirkan ketika penyimpanan, pengendalian, memasak dan menghidangkannya. Kontaminasi makanan boleh dielakkan dengan menutup makanan daripada dicemari oleh lalat, meminimumkan persentuhan dengan makanan, memastikan makanan mentah dan makanan yang telah dimasak diasingkan. Pembuangan sampah yang tidak sempurna juga boleh menyebakan kontaminasi. Kehadiran haiwan peliharaan dan perosak juga perlu dielakkan bagi memastikan persekitaran tempat memasak dalam keadaan bersih.

Penyakit bawaan makanan adalah penyakit yang biasa menyerang orang ramai. Walau bagaimanapun, ia dapat dielakkan dan dikawal sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk melindungi makanan yang dimakan dari tercemar oleh bahan pencemaran yang boleh menyebabkan penyakit. Amalan kebersihan perlu dipraktikkan setiap masa. Keadaan cuaca panas dan ketiadaan bekalan air paip bukanlah suatu alasan untuk tidak mematuhi amalan kebersihan jika sikap suka kepada kebersihan telah sebati dalam diri setiap rakyat Malaysia. Oleh itu kita sebagai rakyat yang peka perlu sama-sama memastikan diri dan keluarga selamat dari gejala-gejala penyakit ini.